Kutipan Sarang Burung Taman Negara Niah Diteruskan, Hanya 11 Lesen Masih Aktif
NIAH: Kerajaan negeri menerusi Sarawak Forestry Corporation (SFC) terus membenarkan kutipan sarang burung di Taman Negara Niah melalui sistem pelesenan dan penuaian secara lestari.
Pengurus Besar SFC merangkap Controller Taman Negara dan Rizab Semulajadi Sarawak, Abang Arabi Abang Aimran berkata, aktiviti ini merupakan antara ciri warisan Gua Niah yang menyumbang kepada pengiktirafan taman negara itu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
“Jika kutipan sarang burung ini dihentikan, satu nilai tapak warisan dunia akan hilang kerana ia merupakan amalan turun-temurun penduduk Niah.
“Atas sebab itu, Kerajaan Sarawak terus membenarkan kutipan sarang burung ini dilaksanakan dengan pemantauan sistem berlesen seperti yang termaktub di dalam Wildlife Protection Ordinance dan Bird Nest Rule,” katanya kepada Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas Majlis Penangguhan Program Latihan Pemandu Taman di Taman Negara Niah, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini hanya 11 lesen kutipan sarang burung masih aktif berbanding 89 lesen yang pernah direkodkan.
“Pemegang lesen yang masih aktif mematuhi sistem pengurusan kutipan sarang burung Gua Niah yang diperkenalkan pada 1990-an menerusi Projek Danida.
“Aktiviti penjolokan dibenarkan dalam dua musim setahun, iaitu pada suku pertama dan suku terakhir tahun,” katanya lagi.
Mengenai pengeluaran lesen baharu, Abang Arabi berkata peluangnya terhad kerana tiada kawasan baharu di dalam blok Gua Niah atau Gunung Subis yang dikenal pasti menghasilkan sarang burung.
Ujarnya, SFC turut bekerjasama dengan Jabatan Muzium Sarawak bagi menangani isu persekitaran di dalam gua, termasuk pertumbuhan lumut pada dinding yang boleh menjejaskan kualiti sarang burung.
“Sarang burung Gua Niah pernah dikenali sebagai antara yang berkualiti terbaik, justeru persekitaran gua perlu dijaga bagi memastikan tradisi kutipan itu berterusan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Controller Hidupan Liar Sarawak merangkap Timbalan Pengurus Besar Konservasi SFC, Madhan Kiflie berkata, sebanyak 1,010.78 kilogram sarang burung direkodkan dikutip di Gua Niah bagi tempoh 12 Ogos 2025 hingga 31 Mac tahun ini.
Beliau menambah, Gua Niah ditutup semula kepada aktiviti penjolokan mulai 1 April.
Hadir sama Ketua Bahagian Pengurusan Kawasan Terlindung Sepenuhnya merangkap Timbalan Pengawal Taman Negara dan Rizab Semulajadi (NPNR) Mohamad Kasyfullah Zaini – EDISI UKAS