FWTA Perkukuh Autonomi Sarawak Dalam Pengurusan Tenaga Kerja
MIRI: Pelaksanaan sistem Foreign Workers Transformation Approach (FWTA) akan memperkukuh autonomi Sarawak dalam menentukan kemasukan pekerja asing ke negeri ini.
Penasihat di Jabatan Premier Sarawak, Datu Ken Leben berkata, pendekatan itu memberi Sarawak lebih fleksibiliti untuk mengawal, mengurus dan memantau kemasukan tenaga kerja mengikut keperluan industri.
Beliau berkata, sistem yang dibangunkan Unit Pengurusan Imigresen dan Buruh (ILMU) itu selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan melalui pendigitalan dan penggunaan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Melalui pendekatan yang lebih tersusun dan berasaskan data, kita dapat memperoleh maklumat yang lebih tepat untuk dianalisis bagi mengenal pasti keperluan tenaga kerja dan industri.
“Data tersebut juga penting untuk perancangan dasar, pembangunan ekonomi, perancangan tenaga kerja dan pembuatan keputusan kerajaan,” katanya dalam ucapan aluan sempena Program SCSIMon Industry Update di Miri pada Selasa.
Pada masa sama, beliau menegaskan rakyat Sarawak perlu mendapat manfaat daripada pertumbuhan industri melalui peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan dan pembangunan kerjaya.
Katanya, kerajaan Sarawak kini dalam proses mengintegrasikan FWTA dengan sistem Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).
“Integrasi itu bertujuan membolehkan pertukaran dan perkongsian data antara sistem, sekali gus meningkatkan kecekapan pegawai memproses permohonan,” tambahnya.
Datu Ken berkata, Jabatan Tenaga Kerja Sarawak, Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merupakan rakan strategik ILMU yang terlibat sejak awal dalam pembangunan sistem FWTA serta pembaharuan proses berkaitan.
Program dua hari bersempena dengan Sambutan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak 2026 itu menghimpunkan agensi kerajaan serta pemain industri bagi mendapatkan penerangan tentang pengurusan pekerja bukan pemastautin di Sarawak.-EDISI UKAS