78 warga pendidik Meradong terima pengiktirafan APC
SIBU: Seramai 78 warga pendidikan daerah Meradong menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 sebagai pengiktirafan terhadap prestasi, komitmen dan sumbangan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab pendidikan.
Daripada jumlah itu, 69 merupakan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP), manakala sembilan lagi terdiri daripada Anggota Kakitangan Pelaksana (AKP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, pengiktirafan berkenaan mencerminkan kualiti kerja, disiplin, kerjasama serta impak positif yang diberikan warga pendidikan kepada sekolah dan masyarakat.
“Pengiktirafan ini diharap menjadi suntikan semangat kepada para penerima untuk terus mengekalkan kecemerlangan, menjadi inspirasi kepada rakan sejawat serta menyuburkan budaya kerja yang berkualiti dan berprestasi tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian APC Tahun 2025 dan Majlis Jasamu Dikenang Tahun 2026 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Meradong di Paramount Hotel Sibu pada Sabtu.
Pada majlis sama, seramai 17 pesara turut diraikan sebagai penghargaan terhadap jasa dan bakti mereka sepanjang berkhidmat dalam sektor pendidikan.
Menurut Datuk Ding, warga pendidik memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa depan, justeru aspek pendidikan perlu terus diperkasa selaras dengan keperluan pembangunan semasa.
Katanya, pendidikan bukan sahaja memberi tumpuan kepada pencapaian akademik, malah perlu memperkukuh penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), seiring aspirasi pembangunan Sarawak dan ekonomi digital.
Beliau turut mengingatkan warga pendidikan supaya sentiasa bersedia mengadaptasi transformasi digital, memperkukuh inovasi pedagogi serta memastikan institusi pendidikan kekal sebagai persekitaran yang selamat dan kondusif untuk murid.
“Yang baru dikasihi, yang lama dihargai, budimu disanjung, jasamu dikenang sepanjang masa,” katanya sambil menyeru guru, pemimpin sekolah, ibu bapa dan masyarakat supaya bersama-sama menangani isu buli serta gangguan seksual antara guru dan murid dengan serius melalui pembudayaan nilai hormat, empati dan kasih sayang.
Beliau turut menekankan kepentingan akauntabiliti, integriti, ketekunan, empati dan sikap proaktif dalam memastikan kebajikan serta kepentingan murid sentiasa diberi keutamaan.
Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Meradong, Nasaruddin Ibrahim, Mahathir Maldini, Timot Usop dan Joseph Ling Sui Ying.- EDISI UKAS