RM11.2 Bilion Pelaburan Pemangkin Potensi Industri Hiliran Kayu Sarawak
KUCHING: Prestasi pelaburan Sarawak yang merekodkan RM11.2 bilion pelaburan diluluskan pada separuh pertama 2026 membuka ruang lebih luas kepada pengembangan industri hiliran, termasuk sektor kayu dan perabot.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, jumlah berkenaan yang sebahagian besarnya dipacu pelabur tempatan, mencerminkan momentum aktiviti pelaburan Sarawak pada tahun ini.
Perkara itu dimaklumkan ketika pelancaran ‘Sarawak Global Supply Chain and Sourcing’ 2026, di sini, pada Isnin.
Seiring perkembangan tersebut, Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (STIDC) mengetengahkan ‘Timber Industry Regulatory and Compliance System’ (TRACE) dan ‘Furniture Park’ sebagai antara inisiatif untuk memperkukuh ekosistem industri kayu serta menggalakkan lebih banyak aktiviti hiliran.
Pengurus Besar STIDC, Datu Zainal Abidin Abdullah berkata, penyertaan STIDC dalam program berkenaan membuka peluang memperkenalkan inisiatif kawal selia serta peluang pelaburan kepada kumpulan pelabur dan pemain industri yang lebih luas.
“Melalui acara ini, kami dapat mengetengahkan TRACE, Furniture Park dan inisiatif lain yang dilaksanakan STIDC bagi menyokong pembangunan industri kayu dan perabot.
“Kami berharap usaha ini dapat menarik minat lebih besar dalam kalangan pelabur dan pemain industri serta menggalakkan penyertaan dalam sektor hiliran kayu Sarawak,” katanya menerusi kenyataan media, pada Selasa.
TRACE merupakan antara inisiatif utama yang diketengahkan STIDC bagi menyokong pengurusan keperluan kawal selia dan pematuhan industri kayu secara lebih sistematik.
Pada masa sama, cadangan pembangunan ‘Furniture Park’ bertujuan menyokong pengembangan industri perabot serta membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri untuk bergerak lebih jauh dalam rantaian nilai hiliran kayu.
STIDC turut mengetengahkan program latihan khusus bagi membangunkan tenaga kerja berkemahiran yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan sektor hiliran kayu dan perabot. -EDISI UKAS