MYFutureJobs x GETS-WRP Career Fair 2026 Bakal Berlangsung 20 Mei Ini
KUCHING: Sarawak Centre of Performance Excellence Sdn Bhd (SCOPE) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi inisiatif MYFutureJobs, akan menganjurkan MYFutureJobs x GETS-WRP Career Fair 2026 di Bangunan Yayasan Sarawak pada 20 Mei ini.
Dalam satu kenyataan media pada Isnin, pameran kerjaya ini bertujuan menyediakan platform strategik kepada pencari kerja, graduan dan pelatih 'Graduates Enhancement Training Sarawak – Workplace Readiness Programme (GETS-WRP)' untuk berhubung secara langsung dengan bakal majikan sambil meneroka peluang kerjaya dalam pelbagai sektor.
Acara sehari itu, yang dijadual berlangsung dari 9 pagi hingga 5 petang dijangka menarik penyertaan memberangsangkan daripada majikan serta bakat muda dari seluruh Sarawak ditambah ia terbuka kepada orang awam
"Para peserta akan berpeluang bertemu syarikat-syarikat yang sedang mengambil pekerja, mendapatkan panduan kerjaya dan kebolehpasaran, serta mengetahui mengenai insentif pekerjaan dan program peningkatan kemahiran yang tersedia," menurut kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan tersebut, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja dan meningkatkan kebolehpasaran graduan di Sarawak.
Melalui kerjasama dengan PERKESO dan platform MYFutureJobs, SCOPE berhasrat membantu graduan memperoleh pekerjaan yang bermakna, di samping membantu majikan mengenal pasti bakat yang sesuai untuk memenuhi keperluan industri.
"Selain peluang padanan pekerjaan, acara ini turut menyediakan perkhidmatan nasihat kerjaya serta maklumat mengenai inisiatif pekerjaan yang disokong kerajaan, yang direka untuk menggalakkan pengambilan pekerja dan pembangunan tenaga kerja," menurut kenyataan itu lagi.
MYFutureJobs x GETS-WRP Career Fair dianjurkan oleh SCOPE dengan sokongan rakan strategik dan penaja, termasuk Curtin University Malaysia dan Excelerate.
SCOPE mengalu-alukan graduan, pencari kerja dan orang awam untuk menghadiri pameran kerjaya ini serta memanfaatkan peluang yang disediakan. Para peserta digalakkan membawa resume masing-masing dan bersedia untuk sesi temu duga.
Untuk maklumat lanjut, orang awam boleh menghubungi SCOPE di +6082-231 230 atau e-mel ke mariane@scopetraining.com.my, nadzirah@scopetraining.com.my atau husna@scopetraining.com.my. -EDISI UKAS