400 Pek Bubur Lambuk Diagih, Eratkan Silaturahim Komuniti Kampung Boyan
KUCHING: Sebanyak 400 pek bubur lambuk diagihkan kepada penduduk sekitar dalam Program Agihan Bubur Lambuk anjuran Kejiranan Mesra (KJM) BGS di Kampung Boyan, di sini pada Ahad.
Program tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang turut meluangkan masa menyantuni penduduk setempat.
Menurut beliau, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan, malah menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat.
Katanya, aktiviti berunsurkan kemasyarakatan juga mampu memupuk semangat perpaduan, gotong-royong serta nilai prihatin dalam kalangan penduduk setempat.
“Program seperti ini mencerminkan semangat kerjasama dan kebersamaan dalam komuniti apabila penduduk berganding bahu menjayakan aktiviti kebajikan untuk manfaat bersama,” katanya.
Program anjuran Kejiranan Mesra (KJM) BGS itu turut mendapat kerjasama penduduk Kampung Boyan yang bersama-sama menyediakan bubur lambuk sebelum diagihkan kepada orang ramai menjelang waktu berbuka puasa.
Kehadiran penduduk daripada pelbagai peringkat umur termasuk golongan belia dan warga emas turut memeriahkan program tersebut.-EDISI UKAS