Ahli Parlimen Kota Samarahan Santuni Penduduk Kampung Bukit Berangan Dalam Jelajah Amal Ramadan Zon Stakan
KOTA SAMARAHAN: Kampung Bukit Berangan menjadi destinasi terakhir bagi Program Jelajah Amal Ramadan Zon Stakan yang dilaksanakan sepanjang hari tersebut dalam usaha menyantuni masyarakat serta memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan komuniti setempat.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata kejayaan pelaksanaan program tersebut mencerminkan semangat kebersamaan serta keprihatinan masyarakat yang sentiasa bersedia berganding bahu dalam menjayakan pelbagai inisiatif kebajikan.
Menurut beliau, program seperti itu bukan sahaja memberi ruang kepada pemimpin untuk mendekati masyarakat, malah turut menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk setempat.
“Alhamdulillah, Jelajah Amal Ramadan pada tahun ini berjaya dilaksanakan dengan lancar di setiap zon yang telah dirancang.
“InsyaAllah, pada tahun hadapan beberapa kampung lain pula akan dipilih sebagai destinasi jelajah bagi meneruskan usaha menyantuni masyarakat serta memperluaskan manfaat program kebajikan seperti ini,” katanya.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut mengambil kesempatan menziarahi bekas Ketua Kaum Kampung Bukit Berangan, Sini Sani, yang kini berdepan masalah kesihatan berkaitan faktor usia serta masalah ingatan.
Datuk Rubiah turut menzahirkan rasa simpati apabila dimaklumkan mengenai keadaan isteri Sini yang kembali berdepan penyakit kanser payudara selepas lebih enam tahun menjalani rawatan termasuk sesi kemoterapi.
Beliau turut menyampaikan sumbangan sebagai tanda sokongan dan keprihatinan selain mendoakan agar keluarga berkenaan terus diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi ujian kesihatan tersebut.
Hadir sama Setiausaha PBB Cawangan DUN Stakan, Sarkawi Suhaili, Ketua Wanita PBB Cawangan DUN Stakan, Lela Adini, Ketua Pemuda PBB Cawangan DUN Stakan, Mohd Azmizan Karim serta Ketua Kaum Kampung Bukit Berangan, Rizal Abu Seman.-EDISI UKAS