Kerajaan Sarawak Perkukuh Tadbir Urus Data Melalui SDGF
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh tadbir urus data sektor awam menerusi pembangunan ‘Sarawak Data Governance Framework’ (SDGF) sebagai panduan utama bagi memastikan pengurusan, perkongsian dan integriti data kerajaan dilaksanakan secara lebih sistematik serta berkesan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, berkata ketersediaan data yang terurus dan mudah diakses bukan sahaja memperkukuh pengurusan maklumat kerajaan, malah mampu menarik lebih ramai penyelidik untuk menjalankan kajian sekali gus membantu kerajaan merangka dasar awam yang lebih tepat dan berkesan.
“Jika data tersedia, lebih ramai penyelidik akan datang menjalankan kajian. Apabila lebih banyak penyelidikan dibuat, lebih banyak dasar dapat dirumuskan berasaskan data yang tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Taklimat Dasar Rangka Kerja Tadbir Urus Data Sarawak dan Pelancaran Projek Integrasi serta Pelaksanaan Pengurusan Data (DMII) anjuran Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU), di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pengurusan data dalam Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) perlu diperkukuh kerana masih terdapat kekangan dari segi struktur pengurusan data dan integritinya.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri melalui ‘Sarawak Multimedia Authority’ (SMA) telah membangunkan SDGF sebagai panduan utama bagi memastikan data sektor awam diurus secara sistematik, telus dan berintegriti.
Jelasnya, rangka kerja tersebut menetapkan standard, peranan serta struktur tadbir urus bagi memastikan data kerajaan dapat dikongsi secara lebih berkesan merentasi kementerian dan agensi.
Mengulas mengenai program, pelaksanaan projek DMII bagi sektor pertanian yang akan dilaksanakan sebagai langkah awal dalam usaha menyeragamkan pengurusan data kerajaan.
“Untuk makluman, pelaksanaan ini telah diluluskan oleh jawatankuasa pembuat keputusan tertinggi bagi ‘Digital Government Committee’ (DGC) yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan ia telah diluluskan tahun lepas.
“Jadi sektor pertanian, seperti yang saya katakan, hanyalah permulaan dan kementerian lain, agensi lain mesti melihat perkara ini. Saya fikir anda akan teruja selepas mengetahui apa sebenarnya yang akan kita lakukan kerana ia akan banyak membantu anda,” ujarnya lagi.
Dalam program itu, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani kontrak DMII antara Kerajaan Sarawak dan ‘Sarawak Information Systems’ (SAINS) serta Majlis Menandatangani Pernyataan Komitmen antara Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MFICORD), Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak.
Hadir sama, Setiausaha Tetap MFICORD Datu Sirai Daha, Pengarah SCSDU Datu Grace Huong, Pengurus Besar SMA Dato Dr Anderson Tiong, Ketua Pegawai Eksekutif SAINS Busiai Seman, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat AI Sarawak (SAIC) Profesor Dr Patrick Then serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS