Op Selamat 26 Bermula 19-24 Mac Ini, 750 Anggota Polis Ditugaskan
KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak akan melaksanakan Op Selamat 26 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 bermula 19 hingga 24 Mac 2026 selama enam hari bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mencegah jenayah sepanjang musim perayaan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, operasi yang diterajui khususnya oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik itu bertujuan menurunkan kadar kemalangan jalan raya di negeri ini, selain memperkukuh penguatkuasaan undang-undang lalu lintas serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan di jalan raya.
Menurutnya, Op Selamat turut memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan persekitaran perjalanan yang selesa dan selamat dengan menempatkan pegawai serta anggota polis di lokasi dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan dan kesesakan lalu lintas.
"Pada masa sama, rondaan pencegahan jenayah pecah rumah juga akan dipertingkatkan terutama melibatkan kediaman yang ditinggalkan penghuni ketika pulang berhari raya.
"Sepanjang tempoh operasi tersebut, kira-kira 750 pegawai dan anggota PDRM Kontinjen Sarawak daripada pelbagai jabatan dan cawangan akan terlibat dalam pelaksanaan operasi di seluruh daerah di negeri ini bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan undang-undang jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan terutama pada musim perayaan," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Beliau menambah, orang ramai yang ingin pulang bercuti digalakkan memaklumkan kepada pihak polis melalui tiga kaedah iaitu dengan menghantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), menghubungi atau hadir ke balai polis berhampiran, serta mengisi borang pemakluman pulang kampung melalui laman web atau portal trafik PDRM.
Dalam pada itu, Datuk Mohamad Zainal memaklumkan, statistik menunjukkan jumlah kemalangan jalan raya semasa sambutan Aidilfitri pada tahun 2025 menurun kepada 332 kes berbanding 354 kes pada tahun 2024, iaitu penurunan sebanyak 22 kes atau 6.2 peratus, manakala kemalangan maut juga mencatatkan penurunan kepada lima kes berbanding tujuh kes pada tahun sebelumnya, bersamaan penurunan sebanyak 28.6 peratus.
"Antara daerah yang mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi semasa Op Selamat 24/2025 ialah Kuching dengan 87 kes, diikuti Miri sebanyak 50 kes dan Padawan dengan 43 kes," jelasnya lagi.
Sehubungan itu, PDRM menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta arahan anggota penguat kuasa sepanjang tempoh perayaan kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang jalan raya bagi memastikan keselamatan semua pengguna terjamin.-EDISI UKAS