Premier Sarawak Terima Watikah Pelantikan Semula Sebagai Pro Canselor UNIMAS
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima watikah pelatikan semula semula sebagai Pro Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kompleks Satria Pertiwi pada Selasa
Pelantikan bagi tempoh 15 Mac 2026 hingga 14 Mac 2029 itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak selaku Canselor UNIMAS, sekali gus menandakan pelantikan kali keempat beliau sejak tahun 2017.
Watikah pelantikan semula tersebut disampaikan dalam satu kunjungan hormat delegasi UNIMAS yang diketuai Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie.
Dalam sesi sama, UNIMAS turut mengumumkan pengambilan seramai 30 pelajar sebagai kohort pertama bagi Fakulti Undang-Undang yang baharu ditubuhkan bermula September tahun ini dengan keutamaan diberikan kepada anak Sarawak.
Naib Canselor UNIMAS, Prof Dr Ahmad Hata Rasit berkata, penubuhan fakulti tersebut bertujuan memperkukuh bidang perundangan di negeri ini, khususnya melibatkan Customary Law, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), serta aspek pembangunan ekonomi Sarawak termasuk isu sempadan negeri dan antarabangsa.
“Ada tiga teras utama akan dibangunkan iaitu penyelidikan berkaitan Customary Law, penubuhan pusat kajian adat dan sejarah, serta penerokaan bidang perundangan teknologi antarabangsa termasuk sistem penangkapan karbon.
“Fakulti ini juga akan merangka program-program yang relevan dengan keperluan semasa dan selari dengan agenda pembangunan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan hormat kepada Premier Sarawak.
Dalam sesi sama, pihak pengurusan universiti turut membentangkan perkembangan terkini serta pencapaian UNIMAS dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan institusi.
Kunjungan turut disertai Dekan Fakulti Undang-Undang, Johan Shamsudin Sabaruddin, Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Sulong Matjeraie, serta Timbalan Naib Canselor (Akademik), Fitri Suraya Mohamad Hapni Joblie.-EDISI UKAS