131 Keluarga Pelajar SMK Luak Terima Sumbangan Aidilfitri
MIRI: Seramai 131 keluarga pelajar daripada golongan berpendapatan rendah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luak menerima sumbangan Aidilfitri berupa barangan keperluan harian bagi membantu membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew menerusi wakilnya, Setiausaha Sulit beliau merangkap Penolong Setiausaha Pemuda SUPP Piasau Miri, Chia Kah Fung dalam satu majlis yang diadakan di dewan sekolah berkenaan, pada Isnin.
Menurut Chia, program sumbangan berkenaan merupakan inisiatif tahunan yang dilaksanakan oleh Datuk Sebastian Ting setiap kali menjelang musim perayaan bagi membantu keluarga pelajar yang memerlukan.
Katanya, usaha tersebut bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan keluarga, malah mencerminkan keprihatinan berterusan terhadap kebajikan pelajar.
“Musim perayaan adalah waktu terbaik untuk menyemai nilai kasih sayang dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat. Justeru, program kebajikan seperti ini wajar diteruskan,” katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Luak, Nancy Ngaran merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan Datuk Sebastian Ting terhadap kebajikan pelajar dan pembangunan sekolah.
Menurut beliau, selain bantuan sempena musim perayaan, Datuk Sebastian Ting turut banyak menyumbang kepada sekolah melalui peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi menaik taraf kemudahan infrastruktur.-EDISI UKAS