1,200 Asnaf Parlimen Kota Samarahan Terima Sumbangan
KOTA SAMARAHAN: Seramai 1,200 penerima dalam kalangan asnaf di kawasan Parlimen Kota Samarahan melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya, Muara Tuang dan Stakan menerima sumbangan sempena Program Semarak Kasih Syawal Kota Samarahan 2026 yang berlangsung di Dewan Suarah Kota Samarahan, pada Selasa.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, penganjuran program tersebut bukan sekadar platform penyampaian bantuan, malah menjadi manifestasi nilai kasih sayang, kebersamaan dan semangat berkongsi rezeki yang menjadi tunjang masyarakat, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
“Ramadan mendidik kita untuk memahami erti syukur dan merasai kesusahan orang lain. Apabila tiba Syawal, kita diseru untuk berkongsi rezeki agar tiada golongan yang tercicir daripada menikmati kegembiraan hari raya,” katanya semasa berucap dalam majlis itu, di sini, pada Selasa.
Beliau turut menegaskan bahawa bantuan yang disalurkan walaupun tidak besar dari segi nilai, namun membawa makna besar dalam meringankan beban penerima, selain mengukuhkan hubungan antara masyarakat dan kepimpinan setempat.
Dalam masa sama, Datuk Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan mengingatkan kepimpinan di peringkat akar umbi termasuk Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), penghulu serta jawatankuasa kampung agar melaksanakan amanah dengan penuh integriti dan keadilan.
“Pemimpin masyarakat perlu berlaku adil tanpa mengira latar belakang. Bantuan mesti disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak, bukan berdasarkan kepentingan peribadi atau hubungan kekeluargaan,” tegasnya.
Tambah beliau, Ramadan seharusnya menjadi medan untuk membentuk nilai kejujuran dan amanah dalam diri setiap individu, selaras dengan tuntutan agama yang menekankan tanggungjawab terhadap setiap amanah yang dipikul.
Mengulas situasi ekonomi semasa, beliau turut menyeru masyarakat agar mengamalkan sikap berjimat cermat dan mengelakkan pembaziran, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu ketika ini.
Katanya, walaupun kerajaan terus berusaha menjaga kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk subsidi, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan berbelanja secara berhemah.
Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Samarahan Hayati Sahari dan Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan Chek Bujang. -EDISI UKAS