Naik Taraf Jalan Raya Tingkatkan Akses 12 Rumah Panjang di Julau
JULAU: Lebih 3,000 penduduk luar bandar di daerah ini bakal menikmati kemudahan perhubungan yang lebih baik menerusi pelaksanaan projek naik taraf jalan raya bernilai RM82.8 juta yang akan dimulakan dalam masa terdekat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Dato Rolland Duat Jubin berkata, projek berimpak tinggi itu melibatkan pembinaan jalan sepanjang 8.5 kilometer yang dijangka memberi manfaat kepada 12 buah rumah panjang di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, jalan tersebut akan dibina mengikut piawaian R1, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan serta keselesaan pengguna.
“Tempoh pelaksanaan projek ini dianggarkan mengambil masa kira-kira tiga tahun sebelum ia dapat disiapkan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis pra pelancaran projek berkenaan di sini, pada Selasa.
Tambahnya, projek tersebut turut merangkumi pembinaan enam buah jambatan bagi menggantikan laluan sedia ada yang kurang selamat.
Beliau menjelaskan bahawa sebelum ini keadaan jalan sedia ada yang hanya berupa laluan tanah merah sering menyukarkan penduduk, terutama ketika musim hujan.
“Apabila hujan, laluan menjadi becak dan sukar dilalui, sekali gus menjejaskan aktiviti harian serta urusan pengangkutan hasil pertanian,” jelasnya.
Dato Rolland berkata, pembinaan jalan baharu itu akan memudahkan pergerakan penduduk setempat, khususnya dalam membawa hasil pertanian ke pasaran dengan lebih cepat dan efisien.
Pada masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas kelulusan peruntukan besar bagi memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan, lebih RM2 juta diperuntukkan sebagai pampasan kepada penduduk yang terlibat dalam proses pengambilan tanah, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam melaksanakan pembangunan secara inklusif dan telus.-EDISI UKAS