KAPIT: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda kebajikan rakyat menerusi pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 yang memberi fokus kepada golongan berpendapatan rendah, warga emas dan individu bujang di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat menegaskan bahawa pelaksanaan SKAS mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara, khususnya dalam menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.
Menurut beliau, pendekatan penyaluran bantuan melalui baucar digital menggunakan aplikasi S Pay Global membolehkan proses agihan dilaksanakan dengan lebih cekap, telus dan sistematik, selari dengan agenda pendigitalan kerajaan.
“Usaha ini bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan negeri,” katanya dalam program tersebut di Dewan Masyarakat Melayu, Kapit pada Selasa.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang berkata program SKAS amat signifikan kepada masyarakat luar bandar yang berdepan kekangan dari segi jarak, kos pengangkutan serta peluang ekonomi.
Beliau menambah, pendekatan bantuan secara digital turut memudahkan rakyat mendapatkan keperluan asas dengan lebih teratur dan berkesan.
Dalam perkembangan sama, Pegawai Daerah Kapit, Thomas Geoffrey Kandawang memaklumkan bahawa kadar bantuan SKAS tahun ini telah ditingkatkan dengan jumlah peruntukan keseluruhan mencecah RM640 juta.
Beliau berkata, penyaluran bantuan akan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tahun bagi memastikan keberkesanan agihan kepada penerima yang layak.
Terdahulu dalam majlis tersebut, seramai 11 penerima terlibat dalam simbolik penyerahan bantuan melibatkan lima penerima dari DUN Bukit Goram dan enam penerima dari DUN Pelagus.-EDISI UKAS