Pemimpin dan Rakyat Berganding Bahu Perkasa Komuniti Rumah Panjang Di Mulu
MARUDI: Kerjasama erat antara pemimpin dan penduduk menjadi kunci utama dalam memastikan pembangunan komuniti rumah panjang dapat dilaksanakan secara mampan dan berterusan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata, perpaduan kukuh dalam kalangan penduduk serta kepimpinan yang berkesan mampu mendorong kemajuan sesebuah rumah panjang.
Menurut beliau, kejayaan penduduk Rh Tanjong dalam mewujudkan persekitaran rumah panjang yang selesa, tersusun dan harmoni membuktikan bahawa komitmen serta kerjasama yang tinggi mampu menghasilkan pembangunan komuniti yang berjaya.
“Rumah panjang akan terus berkembang dengan baik sekiranya dipimpin dengan berkesan serta disokong oleh semangat perpaduan yang kukuh dalam kalangan penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Tanjong Anak Nudong di Stapang B, Marudi pada Selasa.
Tambah beliau, keseragaman serta susun atur rumah panjang mencerminkan tahap kepimpinan yang teratur dan berwibawa, sekali gus menjadi asas kepada pembangunan yang lebih sistematik.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar pengurusan peruntukan di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dilaksanakan secara telus dan amanah supaya manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh oleh penduduk.
Beliau juga menzahirkan penghargaan terhadap usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyalurkan bantuan melalui MRP dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang memberi impak positif kepada pembangunan komuniti luar bandar.
Pada majlis tersebut, sebanyak RM35,000 diperuntukkan bagi pembelian jubin kaki lima rumah panjang, manakala RM7,000 lagi disalurkan kepada JKKK Rh.Tanjong bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan.
Majlis turut diserikan dengan acara pemotongan kek sempena ulang tahun keempat rumah panjang tersebut didiami oleh penduduk, melambangkan perpaduan serta kejayaan komuniti dalam membina kehidupan yang lebih baik.
Turut hadir, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Marudi, Reagen Edwin yang mewakili Pegawai Daerah Marudi, Kaunselor Yanti Nyanggau serta ketua-ketua masyarakat dan tuai rumah setempat.-EDISI UKAS