Bantuan Kewangan Ringankan Beban Pesakit Dialisis di Paradom
SIBU: Beban kos rawatan dialisis dua pesakit di kawasan Paradom diringankan menerusi penyaluran bantuan kewangan hasil inisiatif kebajikan komuniti setempat.
Bantuan tersebut disampaikan oleh Kaunselor Kevin Lau Kor Jie dalam satu lawatan ke kediaman penerima susulan keprihatinan terhadap kesukaran yang dihadapi mereka.
Dua penerima bantuan, Nazri Sazali dan Morshidi Ali Ahmad sebelum ini berkongsi cabaran hidup mereka, khususnya berkaitan kos rawatan dialisis yang berterusan dan memerlukan komitmen kewangan tinggi.
Menurut Kevin, meskipun sebahagian kos rawatan ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), kedua-dua pesakit masih perlu menanggung perbelanjaan tambahan termasuk ubat-ubatan dan suntikan.
“Keadaan ini memberi tekanan kewangan yang berpanjangan, lebih-lebih lagi apabila rawatan perlu dijalani secara konsisten,” katanya.
Tambah beliau, bantuan yang disalurkan merupakan langkah segera bagi meringankan beban pesakit, selain usaha susulan akan diambil termasuk meneliti kemungkinan memohon bantuan melalui agensi berkaitan.
Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan berterusan masyarakat dalam membantu golongan memerlukan serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam komuniti.-EDISI UKAS