Penambahbaikan Menyeluruh Dalam Penyampaian Projek
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh komitmen terhadap penyampaian projek pembangunan yang lebih cekap dan menepati jadual menerusi satu sesi libat urus strategik diadakan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel berkata, kecekapan penyampaian projek amat penting untuk mempertingkatkan keberkesanan serta ketepatan masa pelaksanaan projek perkhidmatan awam di seluruh negeri.
Beliau dalam pada itu turut menegaskan keperluan untuk memperkasa budaya penambahbaikan berterusan dan inovasi dalam perkhidmatan awam, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memastikan setiap projek pembangunan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Jelasnya, penyampaian projek yang menepati masa mencerminkan komitmen kepada rakyat Sarawak yang bergantung kepada kemudahan ini untuk meningkatkan ketersambungan, mutu perkhidmatan dan kualiti hidup.
Beliau juga menekankan kepentingan kerjasama erat antara agensi negeri dan Persekutuan dalam memperkukuh tadbir urus projek, di samping mempertingkat amalan pengurusan projek yang lebih efektif serta pelaksanaan penyelesaian praktikal bagi menangani cabaran sedia ada.
Pertemuan pada hari itu dimulakan dengan taklimat komprehensif oleh Pengarah JKR Sarawak, Datu Ir Ts Dr Cassidy Morris yang memperincikan kerangka perancangan projek semasa serta strategi pelaksanaannya bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara sistematik dan berimpak tinggi.
Turut berlangsung sesi dialog terbuka yang memberi ruang kepada warga JKR Sarawak untuk berkongsi pandangan serta cabaran operasi yang dihadapi, khususnya berkaitan isu-isu yang memberi kesan terhadap tempoh pelaksanaan projek.
Turut hadir, Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak Datu Ir Ts Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan, Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) Sapiah Daud serta pegawai-pegawai kerajaan negeri ini. -EDISI UKAS