Bantuan Ramadan RM12,500 Disalur kepada 50 Penerima di Batang Sadong
GEDONG: Seramai 50 penerima dalam kalangan asnaf, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan anak yatim disantuni menerusi Program Jalinan Kasih Ramadan 2026 Parlimen Batang Sadong yang berlangsung di Masjid Nurul Islam Kampung Semalatong, di sini, pada Selasa.
Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee berkata, program tersebut bukan sahaja menjadi platform menyampaikan sumbangan malah memperkukuh hubungan antara pemimpin dan komuniti setempat khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Menurut beliau, pelaksanaan program dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) serta Pusat Khidmat Batang Sadong mencerminkan komitmen berterusan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan yang memerlukan.
Dalam majlis tersebut, Rodiyah yang juga Ahli Lembaga Pengarah SKM telah menyampaikan sumbangan berupa bakul makanan dan bantuan tunai berjumlah keseluruhan RM12,500 kepada penerima.
“Usaha ini diharap dapat meringankan beban penerima khususnya dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang,” katanya.
Tambah beliau, inisiatif seumpama ini akan terus diperkasakan bagi memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terpelihara di samping memupuk nilai keprihatinan serta semangat kebersamaan dalam komuniti.
Turut hadir Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Sarawak Norfaizah Manjah, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Gedong Mohammad Fiirdaus Habari, Naib Ketua PBB Cawangan Gedong Ali Bujang, Penghulu Melayu Zon Ulu Gedong Najib Arbi serta Pengerusi Masjid Nurul Islam Kampung Semalatong Ajong Najib.-EDISI UKAS