AirBorneo Komited Perkukuh Kerjasama Strategik, Perluas Jaringan Laluan Secara Berperingkat
KUCHING: Kerajaan Sarawak kekal komited memperkukuh kedudukan syarikat penerbangan milik negeri, AirBorneo, melalui pendekatan kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan lain serta peluasan jaringan laluan secara berperingkat.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Henry Harry Jinep berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan AirBorneo dapat membina kehadiran kukuh di peringkat antarabangsa meskipun masih baharu dalam industri penerbangan.
Menurut beliau, sebagai pemain baharu, AirBorneo masih dalam proses mendapatkan pengiktirafan global yang memerlukan pematuhan kepada pelbagai prosedur dan piawaian ketat industri penerbangan antarabangsa.
“Bagi AirBorneo, kami merupakan syarikat penerbangan baharu, jadi kami belum mempunyai sebarang rekod di peringkat antarabangsa setakat ini. Oleh itu, untuk memohon kelulusan seperti hak pendaratan dan kemudahan berkaitan di bandar-bandar lain, ia akan mengambil masa untuk pihak luar mengiktiraf kami kerana banyak prosedur yang perlu dilalui.
“Namun begitu, bagi syarikat penerbangan lain, ya, kami juga sedang bekerjasama dengan syarikat-syarikat penerbangan lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyambut Penerbangan Sulung Batik Air dari Guangzhou ke Kuching, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), pada Rabu.
Menurut beliau, kekangan tersebut merupakan perkara lazim dalam industri penerbangan, khususnya bagi pemain baharu yang sedang berusaha menembusi pasaran global yang kompetitif dan dikawal selia secara ketat.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak kekal komited untuk memperkukuh kedudukan AirBorneo melalui kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan lain serta memperluas jaringan laluan secara berperingkat.
Mengulas mengenai penerbangan sulung itu, beliau menjelaskan ianya merupakan satu peningkatan aksesibiliti udara yang akan menarik lebih ramai pelawat antarabangsa yang berminat untuk melihat sendiri kemajuan Sarawak dalam bidang seperti sektor aeroangkasa, tenaga hijau dan ekonomi digital.
“Perkara ini kini menjadi tumpuan dunia, dan saya percaya ramai pihak berminat untuk datang melihat sendiri perkembangan yang sedang berlaku di Kuching dan Sarawak. Sudah tentu, sebagai rakyat Sarawak, kita perlu mengalu-alukan perkembangan ini kerana ia akan membantu merancakkan ekonomi negeri.
“Sememangnya, kehadiran penerbangan masuk memberikan kelebihan besar, khususnya penerbangan terus seperti yang menghubungkan bandar ke bandar. Ini merupakan satu kelebihan yang signifikan, dan kita berharap lebih banyak penerbangan seumpama ini akan diperkenalkan pada masa hadapan,” ujarnya lagi.
Untuk makluman, penerbangan dari Guangzhou tersebut membawa 145 penumpang dengan masa perjalanan selama 3 jam 45 minit. -EDISI UKAS