Kanowit Cultural Festival 2026 Semarak Budaya, Pacu Ekonomi Komuniti
KANOWIT: Kanowit Cultural Festival 2026 (KCF 2026) bakal berlangsung selama 24 hari bermula 8 hingga 31 Mei ini, menampilkan pelbagai acara kebudayaan dan tradisi yang berpotensi memperkasa ekonomi komuniti setempat.
Pegawai Daerah Kanowit, Cerisologo Sabut berkata, festival itu akan dipusatkan di Tebingan Kanowit dan Dewan Pejabat Daerah sebagai lokasi utama.
Menurut beliau, antara tarikan utama ialah Bazaar Gawai dari 10 hingga 31 Mei, selain pelbagai acara seperti Niti Daun, pertandingan Betaboh dan Ngajat, Pekit Bepantun dan Ramban, Pekit Kumang, Malam Mantar Gawai serta Sukan Rakyat.
“Majlis perasmian dijadualkan pada 8 Mei di Pentas Utama Tebingan Kanowit dan dijangka disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang,” katanya.
Acara Niti Daun akan membuka tirai festival pada 8 Mei, diikuti Malam Mantar Gawai pada 23 Mei dan Sukan Rakyat pada 24 Mei.
Terdahulu, mesyuarat persediaan telah diadakan melibatkan pelbagai pihak termasuk ADUN Ngemah Anyi Jana, wakil ADUN Machan serta ketua jabatan dan masyarakat.
Anyi menegaskan penganjuran KCF 2026 bukan sahaja memelihara warisan budaya pelbagai etnik, malah menjadi platform merancakkan sosioekonomi melalui penjualan produk tempatan.
Dalam masa sama, Cerisologo berkata festival itu turut memperkukuh perpaduan serta mempromosikan Kanowit sebagai destinasi pelancongan.- EDISI UKAS