MATU: Program Sentuhan Kasih Ramadan anjuran Pusat Khidmat DUN N.44 Jemoreng telah menyantuni pesakit kronik yang terlantar di sekitar daerah Matu.
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya menyampaikan sumbangan berupa empat unit kerusi roda kepada pesakit kronik sebagai usaha meringankan beban golongan memerlukan.
Selain itu, para penerima turut menerima sumbangan lain berbentuk bakul makanan serta duit raya bagi membantu persiapan menjelang sambutan Aidilfitri.
Berucap dalam program tersebut, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dalam menyantuni rakyat, khususnya golongan yang kurang berkemampuan agar tidak terpinggir daripada arus pembangunan.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi bantuan fizikal, malah membawa mesej keprihatinan dan kasih sayang kepada mereka yang memerlukan, selaras dengan semangat Ramadan,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Dr Juanda turut meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk setempat sambil menghulurkan duit raya kepada mereka, sekali gus mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat. -EDISI UKAS