SDCA Perkukuh Penglibatan Belia, Martabat Warisan Budaya Dayak
KUCHING: Usaha memperkasa generasi muda dan memelihara warisan budaya Dayak terus diperkukuh menerusi mesyuarat strategik Persatuan Kebudayaan Dayak Sarawak (SDCA) bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Wisma Bapa Malaysia.
Datuk Amar Douglas Uggah berkata, mesyuarat tersebut memberi fokus kepada penyelarasan hala tuju dan pemantapan pelaksanaan inisiatif SDCA agar lebih tersusun, strategik serta berimpak tinggi, khususnya dalam membangunkan bakat belia.
“SDCA perlu terus membuka ruang kepada golongan muda untuk mengembangkan bakat dalam bidang seni, budaya dan industri kreatif, di samping memastikan warisan budaya kekal relevan serta mampu diketengahkan ke peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Mesyuarat itu turut menekankan kepentingan penglibatan belia sebagai medium memupuk penghargaan terhadap adat tradisi, di samping membentuk kemahiran kepimpinan dalam kalangan generasi muda bagi menjamin kesinambungan warisan budaya Dayak.
Selain itu, SDCA membentangkan pelan pembangunan bakat jangka panjang, termasuk menyediakan laluan kerjaya dalam industri kreatif seperti lakonan, peragaan, jurusolek profesional dan duta jenama kepada peserta pertandingan serta pemegang gelaran.
Perbincangan turut merangkumi potensi kerjasama strategik bersama rakan industri bagi memperluas peluang penajaan, promosi serta meningkatkan nilai komersial program SDCA.
Dalam pada itu, perancangan acara kemuncak yang dijadual berlangsung di Kuching pada Julai 2026 turut diperhalusi, melibatkan penyertaan juara-juara bahagian dalam kategori Kumang, Bidayuh dan Orang Ulu.
Mesyuarat turut dihadiri barisan kepimpinan utama SDCA termasuk Penasihat Neilson Ilan Mersat, Presiden Bridgette Astra Donald, Setiausaha Rofina Linga serta ahli jawatankuasa yang mewakili portfolio publisiti, logistik, persembahan dan pemasaran.
Sementara itu, Presiden SDCA, Bridgette Astra Donald berkata SDCA bukan sahaja berperanan memelihara budaya, malah membina generasi masa depan yang berkeyakinan dan berkemahiran.
“Melalui program tersusun serta kerjasama strategik, kita mampu menyediakan laluan sebenar kepada belia untuk berjaya dalam industri kreatif, sekali gus memperkasa masyarakat dan mengangkat warisan budaya Sarawak ke peringkat global,” ujarnya.
Sepanjang tahun 2026, SDCA merancang beberapa program utama termasuk Bengkel Pemantapan dan Penyeragaman Hakim Kumang dan Keling pada 18 April di Serapi Hotel, diikuti Pekit Kumang dan Keling di Bintulu pada 8 Mei serta Pekit Kumang Keling bersama Sarawak Dayak National Union di Dewan Suarah Sri Aman pada 23 Mei, sebelum acara kemuncak Pertandingan Kumang Keling pada 3 Julai sempena Samarahan Food and Cultural Festival dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Samarahan. –EDISI UKAS