Op Selamat 26 Diperkasa, Fokus Keselamatan Jalan Raya dan Pencegahan Jenayah
KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak mempergiat pelaksanaan Op Selamat 26 sempena Hari Raya Aidilfitri 2026 dengan memberi tumpuan kepada keselamatan jalan raya serta pencegahan jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata operasi tersebut berlangsung selama enam hari bermula 19 hingga 24 Mac ini, melibatkan 750 pegawai dan anggota di seluruh Sarawak.
Menurut beliau, operasi itu bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya melalui penguatkuasaan undang-undang trafik serta pendidikan keselamatan kepada pengguna jalan raya.
“Penugasan anggota akan difokuskan di lokasi dikenal pasti yang kerap berlaku kemalangan bagi memastikan perjalanan lebih selamat dan lancar,” katanya ketika ditemui media di Farley Kota Samarahan pada Rabu.
Selain itu, rondaan berkala turut dipertingkat bagi mencegah kejadian pecah rumah, khususnya melibatkan kediaman yang ditinggalkan ketika penghuni pulang ke kampung.
Orang ramai digalakkan memaklumkan ketiadaan mereka melalui pendaftaran Volunteer Smartphone Patrol (VSP), menghubungi atau hadir ke balai polis berhampiran, serta mengisi borang balik kampung menerusi portal rasmi PDRM.
Mengulas statistik, beliau berkata jumlah kemalangan semasa musim perayaan 2025 menurun kepada 332 kes berbanding 354 kes pada 2024, iaitu pengurangan 6.2 peratus, manakala kemalangan maut turut berkurangan kepada lima kes berbanding tujuh kes sebelumnya.
Bagaimanapun, beberapa lokasi seperti laluan pusingan U di Pan Borneo dikenal pasti berisiko dan memerlukan perhatian pengguna jalan raya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar memandu secara berhemah, mematuhi had laju, merancang perjalanan, tidak memandu dalam keadaan letih serta mengelakkan tindakan berbahaya.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang. Utamakan keselamatan diri dan keluarga,” tegasnya.
Dalam pada itu, kenderaan barangan dikenakan larangan pergerakan pada 19 dan 20 Mac serta 28 dan 29 Mac ini bagi memastikan aliran trafik lebih lancar.
Beliau turut menyeru orang ramai bekerjasama dengan pihak polis dengan memaklumkan ketiadaan mereka di rumah bagi mengurangkan risiko jenayah sepanjang musim perayaan. – EDISI UKAS