MATU: Program Agihan Bubur Lambuk Kampung Bawang berlangsung meriah dan mendapat sambutan menggalakkan apabila sebanyak 400 bungkus bubur lambuk berjaya diedarkan kepada orang ramai di sekitar kawasan tersebut.
Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bawang itu disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya.
Menarik sekali, 400 bungkus bubur lambuk telah berjaya disediakan secara bergotong-royong oleh Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama penduduk kampung sebelum diedarkan kepada orang ramai.
Inisiatif berkenaan bukan sahaja bertujuan menyemarakkan amalan bersedekah sempena bulan Ramadan, malah turut memperkukuh semangat perpaduan serta kerjasama dalam kalangan komuniti setempat.
Dalam masa sama, Datuk Dr Juanda turut berkesempatan menyampaikan duit raya sebagai tanda penghargaan kepada Ahli JKKK yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program berkenaan. -EDISI UKAS