Lima Rumah Di Matu Dikenal Pasti Dalam Lawatan Baik Pulih PPMRS DUN Jemoreng
MATU: Program Lawatan Baik Pulih Projek Perumahan Mesra Rakyat Sarawak (PPMRS) DUN Jemoreng dilaksanakan bagi meninjau keadaan kediaman penduduk yang memerlukan perhatian segera, khususnya dalam kalangan golongan kurang berkemampuan di sekitar Matu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr. Juanda Jaya telah turun padang bagi melihat sendiri keadaan rumah penduduk yang uzur serta memerlukan kerja-kerja baik pulih segera demi memastikan kesejahteraan dan keselamatan penghuni terus terpelihara.
Dalam lawatan tersebut, sebanyak lima buah rumah penduduk sekitar Matu telah dikenal pasti dan dilawati bagi tujuan penilaian serta tindakan susulan.
Program ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Sarawak dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan, khususnya dalam menyediakan kediaman yang lebih selesa dan selamat untuk didiami. -EDISI UKAS