Program MyLesen Diperluas Ke Telang Usan, Permudah Miliki Lesen B2
MIRI: Program MyLesen diperluas ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telang Usan dengan sasaran sekitar 1,000 peserta daripada golongan B40 dan berpendapatan rendah untuk memiliki lesen motosikal kelas B2 pada kos lebih rendah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, menerusi program itu, kos mendapatkan lesen hanya RM250 berbanding kadar pasaran antara RM600 hingga RM700, sekali gus meringankan beban rakyat.
Menurut beliau, inisiatif julung kali dilaksanakan di kawasan itu dijangka memberi manfaat besar, khususnya kepada penduduk yang bergantung kepada motosikal sebagai pengangkutan harian.
“Kita belum menetapkan tarikh pelaksanaan, namun program ini dijangka berlangsung pada Jun tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Penyelarasan Program Bantuan Lesen Memandu MyLesen Motosikal Kelas B2 Tahun 2026 peringkat DUN Telang Usan di Bilik Mesyuarat JPJ Cawangan Miri, baru-baru ini.
Program tersebut merupakan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Telang Usan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Pejabat Daerah Telang Usan serta Institut Memandu Batu Niah.
Inisiatif itu bertujuan mengurangkan kos mendapatkan lesen memandu di samping meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya, khususnya di kawasan pedalaman.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan masyarakat di Telang Usan dan sekitarnya merebut peluang berkenaan, namun menegaskan peserta tetap perlu mengikuti latihan serta lulus ujian yang ditetapkan oleh JPJ.
Turut hadir Pengarah JPJ Negeri Sarawak Norizan Jili, Ketua Bahagian Pelesenan Pemandu JPJ Sarawak Yusniman Mohamad, Pegawai Daerah Telang Usan Ezra Uda, Pengerusi Majlis Daerah Marudi Kaunselor Edward Mendai serta penghulu tempatan.-EDISI UKAS