61 KIR Sri Aman Terima Bantuan Sejahtera MADANI Kebajikan
SRI AMAN: Seramai 61 Ketua Isi Rumah (KIR) di Bahagian Sri Aman menerima bantuan menerusi Program Sejahtera MADANI Kebajikan: Ziarah Kasih Ramadan.
Program anjuran Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Sarawak itu menjadi manifestasi komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela, khususnya golongan memerlukan.
Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh menegaskan, bahawa pelaksanaan program tersebut selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang diterajui oleh Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negara.
“Kerajaan sentiasa komited membantu golongan memerlukan keluar daripada kepompong kemiskinan melalui pendekatan yang menyeluruh dan berfokus,” katanya semasa berucap dalam majlis tersebut, pada Rabu.
Bagi program Ziarah Kasih Ramadan, setiap KIR menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM500 berserta bakul makanan, melibatkan jumlah keseluruhan RM30,500.
Selain itu, bantuan kebajikan dan bencana turut disalurkan kepada mangsa kebakaran di Perumahan Melayu RPR Fasa 1 Sri Aman dengan jumlah keseluruhan RM1,150 merangkumi wang tunai dan keperluan asas bagi meringankan beban yang ditanggung.
Dalam pada itu, Mahra turut menekankan bahawa usaha membasmi kemiskinan memerlukan kerjasama erat semua pihak termasuk kerajaan, agensi pelaksana dan masyarakat agar bantuan yang disalurkan dapat dimanfaatkan secara optimum.
Menurut statistik sehingga Mac 2026, seramai 1,810 individu dalam kategori miskin di Bahagian Sri Aman dikenal pasti memerlukan perhatian berterusan, melibatkan kawasan Lubok Antu, Sri Aman, Lingga dan Pantu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk Pejabat Daerah serta agensi pelaksana seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat atas komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara dan diperkasa. -EDISI UKAS