Mulu Eco Challenge 2026, Perkukuh Sarawak Sebagai Hab Eko-Pelancongan Serantau
KUCHING: Mulu Eco Challenge mencerminkan komitmen Sarawak dalam membangunkan produk pelancongan bernilai tinggi dan lestari, seiring usaha menuju 2030.
Demikian menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berhubung penganjuran Mulu Eco Challenge 2026 yang kembali bagi edisi ketiga pada 29 Mac ini di Mulu Marriott Resort & Spa.
Beliau berkata, acara seumpama itu memainkan peranan penting dalam mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan lestari bertaraf global, khususnya dalam segmen eko-pelancongan dan pengembaraan.
Acara itu diumumkan dalam satu sidang media pada Rabu yang disempurnakan oleh beliau.
Menurut penganjur, Grit Event Management, edisi kali ini dijangka menarik antara 90 hingga 100 peserta melibatkan kira-kira 25 pasukan, termasuk penyertaan antarabangsa dari Brunei dan Singapura selain Sabah serta Semenanjung Malaysia.
Penganjuran berterusan acara ini dilihat selari dengan usaha kerajaan Sarawak dalam membangunkan sektor pelancongan berimpak tinggi, khususnya dalam segmen pengembaraan dan eko-pelancongan.
Bertempat di Gunung Mulu National Park, peserta bakal melalui cabaran unik yang menggabungkan larian denai dan aktiviti rakit buluh, sekali gus menawarkan pengalaman luar biasa dalam persekitaran semula jadi yang diiktiraf dunia.
Dalam perkembangan berkaitan, Mulu Eco Challenge turut diposisikan sebagai sebahagian daripada platform Borneo Raft Safari yang menghimpunkan acara rakit air utama di negeri ini.
Pengarah Perlumbaan Mulu Eco Challenge 2026, Awang Saifeluddin dari Grit Event Management berkata edisi ketiga penganjuran acara itu berjaya menarik penyertaan sebanyak 25 pasukan, sekali gus menunjukkan peningkatan memberangsangkan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Bagi edisi ketiga ini, kita berjaya mendapatkan penyertaan sebanyak 25 pasukan. Dari segi peserta sahaja, kita melihat sekitar 100 orang terlibat. Jika digabungkan dengan ahli keluarga dan pengurus pasukan, kita menjangkakan kira-kira 150 orang akan hadir ke Mulu Eco Challenge,” katanya.
Inisiatif tersebut melengkapkan siri acara lain seperti Padawan Raft Safari, Selangau Raft Safari dan Mukah rafting, sekali gus memperkukuh penjenamaan Sarawak dalam segmen pelancongan sungai dan pengembaraan.
Dengan tawaran hadiah keseluruhan berjumlah RM10,000, peserta bukan sahaja berpeluang bersaing di Mulu, malah berpotensi menyertai siri cabaran lebih luas di seluruh Sarawak.
Penganjuran acara ini juga sejajar dengan Post COVID-19 Development Strategy 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam memacu pertumbuhan ekonomi mampan, pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan pelancongan berimpak tinggi.
Kejayaan penganjuran ini turut disokong kerjasama pelbagai pihak termasuk Sarawak Tourism Board dari segi promosi, AirBorneo sebagai syarikat penerbangan rasmi, serta Mulu Marriott Resort & Spa sebagai hotel rasmi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala. -EDISI UKAS
Wartawan: Ezzah Syafiqah
Jurugambar: George S. Embie