47 KMKK Muara Tuang Terima Sumbangan Aidilfitri, Peranan Santuni Rakyat Diperkasa
KOTA SAMARAHAN: Seramai 47 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang menerima sumbangan Aidilfitri berupa wang tunai serta 115 kotak air minuman dalam satu majlis yang berlangsung di Rumah Rehat Pejabat Daerah Samarahan, pada Rabu.
Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Speaker DUN Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang yang menzahirkan penghargaan terhadap peranan KMKK sebagai penggerak utama di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, KMKK bukan sahaja berfungsi sebagai pemimpin komuniti, malah menjadi penghubung penting antara rakyat dan kerajaan dalam memastikan kebajikan penduduk sentiasa terpelihara.
“Musim perayaan seperti Aidilfitri adalah masa terbaik untuk kita mendekati rakyat, mengeratkan silaturahim serta menyantuni golongan yang memerlukan,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan budaya ziarah dan amalan kunjung-mengunjung yang menjadi asas perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Dalam masa sama, beliau menggesa KMKK agar lebih proaktif mengenal pasti isu setempat termasuk keperluan asas seperti perumahan, kesihatan, pendidikan dan kemudahan awam untuk disalurkan kepada pihak berkaitan.
Katanya, penyediaan laporan lengkap dan tepat amat penting bagi mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan serta mengelakkan sebarang kelewatan.
Program anjuran Kelab KMKK DUN Muara Tuang bersama Pusat Khidmat ADUN Muara Tuang itu bertujuan menghargai sumbangan KMKK serta membantu persiapan mereka menjelang Aidilfitri.
Turut hadir Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Ketua Marqas Operasi ADUN Muara Tuang Aziz Mohamad, Pengerusi Kelab KMKK DUN Muara Tuang Elen Mustafa serta penghulu dan ketua kaum dari kampung sekitar. –EDISI UKAS