Cadangan Pembinaan SMK Pantu Dapat Sambutan Baik Penduduk.
PANTU: Pengumuman Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie mengenai cadangan pembinaan sebuah sekolah menengah baharu di kawasan Daerah Pantu nyata mendapat reaksi positif dalam kalangan penduduk di sini.
Cadangan terbabit iaitu pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pantu telah diumumkan oleh beliau ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pantu 2026, di sini, Jumaat lepas.
Seorang pekerja am lombong batu arang di sini iaitu Steward Jupong, 32, ketika ditemui berkata, cadangan tersebut amat dinanti-nantikan penduduk di sini kerana anak-anak mereka terpaksa ke sekolah menengah yang jauh untuk menuntut ilmu.
"Anak-anak penduduk Pantu lazimnya menyambung pelajaran alam menengah rendah serta atas di SMK Melugu iaitu yang terdekat dari Pantu sambil diikuti oleh SMK Sri Aman, SMK Saint Luke dan SMK Simanggang.
"Memandangkan begitu jauh, mereka terpaksa tinggal di asrama. Atas sebab itulah cadangan membina SMK Pantu amat dialu-alukan agar anak-anak penduduk Pantu dapat belajar lebih dekat dengan rumah sambil mengurangkan kos pengangkutan," katanya.
Steward turut menambah pembinaan SMK Pantu secara tidak langsung memberi semangat kepada pelajar untuk terus menuntut ilmu dan memperoleh bimbingan pembelajaran daripada ibu bapa pada setiap hari.
Manakala itu, Tuai Rumah Selantik Ili iaitu Hearold Ernest pula menyifatkan cadangan pembinaan SMK Pantu itu sebagai langkah tepat bagi merancakkan pembangunan modal insan di kawasan daerah ini.
“Sebagai pemimpin masyarakat, cadangan terbabit pada pandangan saya bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada generasi muda tetapi juga turut membuka peluang pekerjaan untuk penduduk di kawasan Pantu.
"Justeru, kami berharap projek ini dapat direalisasikan segera agar ia dapat meningkatkan akses pendidikan di kawasan luar bandar dan sekali gus memperkukuh pembangunan masyarakat setempat," kata Hearold.
Terdahulu, Dato Sri Doris pada Mesyuarat Agung SK Pantu terbabit berkata cadangan pembinaan sekolah baharu tersebut telah pun dibangkitkan olehnya semasa persidangan Parlimen dan kini berada dalam perancangan pihak berkaitan.
Katanya juga, perkara terbabit turut dibincangkan bersama Pejabat Daerah Pantu serta ketua-ketua masyarakat setempat dalam satu mesyuarat yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Pantu, baru-baru ini.
Meskipun pembinaan SMK Pantu mungkin tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat namun perancangan tersebut telah dibuat dan usaha ke arah merealisasikannya akan terus diteruskan dari semasa ke semasa.-EDISI UKAS