Yang di-Pertua Negeri Sarawak & Isteri Serikan Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Jabatan, Agensi
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama ketua-ketua jabatan dan agensi di Dewan Santapan, Surau Astana Sarawak, di sini pada Rabu.
Kehadiran mereka berdua ke majlis tersebut disambut oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki bersama isteri, Dato Baduyah Bujang.
Turut hadir ialah Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua serta Ketua-ketua Jabatan.
Majlis dimulakan dengan sesi berbuka puasa bersama para tetamu yang hadir, diikuti dengan solat Maghrib berjemaah dipimpin oleh Imam Besar Sarawak Sahibul Fadilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi, sebelum Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan isteri menjamu selera.
Setelah menjamu selera, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan para jemaah kemudiannya menunaikan solat Isyak dan tarawih berjemaah, sebelum mengakhiri majlis tersebut dengan jamuan moreh bersama hadirin sebelum berangkat pulang.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak serta isteri merakamkan penghargaan atas kehadiran ketua-ketua jabatan dan wakil daripada pelbagai agensi kerajaan, persatuan serta agensi media yang hadir bersama. -EDISI UKAS