Ramadhan Night Run Satukan Komuniti Kampung Datuk Hilir
LINGGA: Seramai 130 peserta memeriahkan Program Ramadhan Night Run 2026 yang berlangsung di Kampung Datuk Hilir hasil penganjuran bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Datuk Hilir dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Datu.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Norazah Awang Sohor pada Rabu.
Turut hadir wakil Pegawai Perpaduan Bahagian Sri Aman, Siti Nur Aisyah bersama pemimpin masyarakat setempat termasuk Pemanca Abang Norin Abang Norudin, Penghulu Rusli Ana serta ketua-ketua kampung dari kawasan sekitar.
Penganjuran larian pada waktu malam sepanjang bulan Ramadan ini dilihat sebagai inisiatif yang signifikan dalam menggalakkan amalan gaya hidup sihat, di samping memperkukuh jalinan silaturahim antara komuniti dan pemimpin setempat.
Menurut penganjur, program tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat untuk kekal aktif sepanjang Ramadan, malah menjadi platform interaksi santai yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan belia dan dewasa.
Suasana harmoni jelas terserlah apabila penduduk setempat bersama-sama menyertai aktiviti tersebut, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan yang kukuh dalam komuniti.
Dalam masa sama, penganjuran Ramadhan Night Run ini turut menyemarakkan pengisian bulan Ramadan dengan aktiviti berfaedah yang mampu membentuk masyarakat yang sihat, bersatu padu dan progresif.-EDISI UKAS