SIBU: Institut Latihan TCCS Marine Sdn Bhd menyasarkan hampir 2,000 penyertaan pelajar pada tahun ini berikutan peningkatan mendadak dalam kalangan anak kapal yang berminat mengikuti latihan perkapalan moden.
Pengarah Pengajian TCCS Marine Sdn Bhd, Kapten Budyuzaman Abu Seman, berkata sasaran itu menunjukkan keyakinan ibu bapa dan pelajar terhadap hala tuju institut latihan tersebut dalam melahirkan tenaga mahir maritim yang bersedia menghadapi cabaran teknologi.
“Ketika mula dibuka pada tahun 2024, jumlah penyertaan sekitar 300 hingga 400 orang dan tahun lepas, jumlah tersebut menjangkau 1,000 lebih peserta, dan pada tahun ini dijangka mencecah hampir 2,000 peserta.
"Alhamdulillah, dari tahun ke tahun, jumlah pelajar semakin meningkat. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak yang telah memberi sokongan dan membantu meningkatkan jumlah penyertaan ke TCCS," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa TCCS di Udak Ballrooms pada Selasa.
Beliau mengaitkan peningkatan itu dengan sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Laut Malaysia yang banyak membantu TCCS sepanjang operasinya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan adaptasi teknologi dalam silibus latihan perkapalan selaras dengan perkembangan industri semasa.
"Kini, kita tidak lagi seperti dahulu kerana teknologi semakin berkembang dan keadaan ini memerlukan pelajar yang berdisiplin serta mempunyai asas ilmu yang kukuh, khususnya dalam aspek keselamatan, pemodenan AI dan sebagainya," ujar beliau.
Tambah beliau, pendekatan pelbagai disiplin ilmu diterapkan bagi melahirkan pelajar yang bukan sahaja mahir dalam aspek pelayaran, malah bersedia memegang pelbagai peranan di atas kapal.
Hadir sama Pengarah Urusan Institut Latihan TCCS Marine Sdn Bhd, James Ho.-EDISI UKAS