KMKK Nadi Penyampaian Dasar, Pemacu Keberkesanan Pembangunan Akar Umbi
MUKAH: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bukan sahaja berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat, malah menjadi pemacu utama dalam memastikan setiap dasar serta inisiatif pembangunan benar-benar sampai, difahami dan dilaksanakan secara berkesan dalam komuniti.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, KMKK merupakan nadi penyampaian maklumat dan pemudah cara utama di peringkat akar umbi yang menentukan keberkesanan pelaksanaan agenda pembangunan kerajaan.
Beliau turut menekankan keperluan KMKK memperkukuh integriti, meningkatkan kecekapan tadbir urus serta mendalami adat dan perundangan tempatan agar peranan mereka kekal berwibawa, relevan dan terus diyakini masyarakat.
Beliau berkata demikian semasa Majlis penangguhan Seminar Transformasi Kepimpinan dan Pemerkasaan Tadbir Urus KMKK Daerah Tatau bagi kawasan Kakus pada Rabu.
Sepanjang seminar, peserta didedahkan kepada aspek tadbir urus, protokol rasmi, pengurusan mesyuarat, peranan Mahkamah Bumiputera serta pengurusan bencana.
Turut diadakan penyerahan sijil pelanjutan dan lantikan baharu kepada KMKK.
Hadir sama Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti serta beberapa pegawai kanan lain. –EDISI UKAS