RM420,000 MRP Perkasa Komuniti Pakan, Pengurusan Dana Perlu Berhemah
PAKAN: Sebanyak 41 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Biro Wanita, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta persatuan tempatan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.47 Pakan menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah keseluruhan RM420,000 bagi memperkasa aktiviti pembangunan komuniti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom berkata, peruntukan tersebut merupakan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan masyarakat terus aktif melaksanakan pelbagai aktiviti pembangunan di peringkat komuniti.
“Peruntukan ini perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya dan digunakan untuk tujuan yang betul agar manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh masyarakat.
“Pada masa sama, saya ingin mengingatkan agar dana ini tidak disalahgunakan sehingga boleh mencetuskan perselisihan dalam kalangan penduduk, khususnya di rumah panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada JKKK, Biro Wanita, PIBG serta persatuan tempatan di kawasan DUN Pakan yang berlangsung baru-baru ini.
Tan Sri William Mawan turut menjelaskan bahawa pembangunan di kawasan luar bandar tidak boleh dibandingkan secara langsung dengan kawasan bandar berikutan perbezaan dari segi keperluan dan cabaran setempat.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan tohmahan di media sosial yang cuba memburukkan usaha kerajaan dalam melaksanakan pembangunan di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan pemilik tanah agar mengusahakan tanah secara produktif bagi meningkatkan hasil dan ekonomi keluarga, sekali gus mengelakkan sektor pertanian di Pakan terus ketinggalan.
Turut hadir Pegawai Daerah Pakan, Mohd Irwan Abdullah @ William Manggoi serta ketua-ketua kaum dan masyarakat setempat. -EDISI UKAS