Kelab Bola Keranjang Simanggang Terima Suntikan Dana RM30,000
SIMANGGANG: Kelab Bola Keranjang Simanggang menerima suntikan dana di bawah dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM30,000 dalam usaha memperkasa pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, peruntukan itu bertujuan menyokong kelangsungan aktiviti persatuan serta memperkukuh persediaan pasukan dalam menghadapi kejohanan peringkat negeri yang bakal berlangsung.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan rakyat berbilang kaum di kawasan Sri Aman agar aktif menyertai sukan bola keranjang yang bukan sahaja meningkatkan kecergasan fizikal, malah membentuk ketahanan mental dan disiplin diri.
“Disamping mempertingkat tahap kecergasan fizikal, sukan bola keranjang juga mampu menguji kecekapan kita dalam mengendalikan bola dengan menggunakan tangan serta pergerakan langkah.
“Sukan bola sepak atau badminton mungkin lebih popular berbanding bola keranjang. Namun jika diberi publisiti mungkin sukan ini akan mampu sambutan meluas bukan sahaja dikalangan orang Cina malah dikalangan kaum lain selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Upacara Penyerahan Bendera Kelab Bola Keranjang Simanggang kepada Pengurus Kontinjen Bahagian Sri Aman ke Kejohanan Bola Keranjang 17 Tahun Ke Bawah (TKB) (Lelaki dan Wanita) Peringkat Negeri di Mini Stadium Sri Aman, pada Khamis.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut menegaskan bahawa sukan bola keranjang tidak seharusnya dilihat sebagai sukan eksklusif kepada sesuatu kaum, sebaliknya perlu diperluas penyertaannya dalam kalangan masyarakat Melayu dan Dayak.
Terdahulu, pasukan lelaki dan wanita Sri Aman di bawah pimpinan James Bong dan Jeff Yew dijadual menyertai Kejohanan Bola Keranjang 17 TKB Peringkat Negeri yang berlangsung dari 24 hingga 29 Mac ini di Stadium Sungai Apong dan Chung Hua Middle School No.1. -EDISI UKAS