KUCHING: Dalam suasana ketidaktentuan global dan peningkatan kos sara hidup, rakyat Sarawak memilih untuk menyambut Aidilfitri tahun ini secara lebih sederhana dengan mengutamakan keperluan serta kebersamaan keluarga berbanding kemewahan.
Tinjauan wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sekitar Kuching mendapati, orang ramai mula menyesuaikan perbelanjaan selari dengan seruan kerajaan agar rakyat berjimat cermat menjelang sambutan Aidilfitri.
Bagi Navilla, seorang anak perantau yang bekerja di Timur Tengah, pengalaman pulang ke tanah air kali ini memberi makna lebih mendalam terhadap sambutan Aidilfitri.
“Tahun ini persiapan Hari Raya agak berbeza bagi saya. Saya sepatutnya pulang ke Kuching lebih awal, namun disebabkan konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Iran, perjalanan saya pulang mengambil masa lebih lama daripada jangkaan.
“Namun pengalaman ini membuatkan saya lebih menghargai makna Hari Raya, iaitu tentang kesyukuran, keselamatan serta peluang untuk kembali bersama insan tersayang,” katanya.
Sementara itu, Fidah berkata peningkatan kos sara hidup mendorong beliau untuk berbelanja secara lebih berhemah tahun ini.
“Persiapan raya sederhana sahaja. Yang penting keperluan asas mencukupi dan dapat berkumpul bersama keluarga,” ujarnya.
Nada sama turut dikongsi Nurzainura yang menegaskan kesederhanaan tidak menjejaskan kemeriahan Aidilfitri.
“Kami beraya secara sederhana, tetapi yang penting dapat bersama keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai dilihat lebih menitikberatkan nilai kesyukuran, keselamatan dan kebersamaan dalam menyambut Syawal, selari dengan keadaan semasa yang mencabar.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Gabriel Rommy & Eisner Nala