Asnaf Terus Disantuni, Pendidikan Anak Turut Jadi Keutamaan di Batang Lupar
PUSA: Golongan asnaf di kawasan P201 Batang Lupar terus disantuni menerusi penganjuran Program Santunan Ramadan yang bukan sahaja memberi bantuan keperluan, malah menekankan kepentingan pendidikan anak sebagai jaminan masa depan.
Program yang berlangsung di Masjid Rahmaniah Pusa itu telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli pada Rabu.
Seramai 190 penerima dalam kalangan asnaf dari Kampung Pusa, Dato Godam, Kampung Kalok dan Tambak menerima sumbangan yang disalurkan melalui Pusat Khidmat P201 Batang Lupar.
Menurut Shafizan, sepanjang bulan Ramadan ini, seramai 300 penerima telah mendapat manfaat daripada bantuan yang disediakan di kawasan Parlimen Batang Lupar.
“Program seperti ini bukan sahaja bertujuan membantu golongan memerlukan, malah menjadi platform untuk kita mengeratkan hubungan silaturahim bersama masyarakat setempat.
“Dalam masa sama, saya ingin menekankan bahawa pembangunan modal insan amat penting agar anak-anak kita menjadi individu yang berguna pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut menyeru ibu bapa agar memberi perhatian terhadap pendidikan anak-anak dengan membekalkan ilmu pengetahuan, motivasi serta pemantauan akhlak bagi mengelakkan mereka terjebak dalam masalah sosial.
Tambah beliau, kerajaan Sarawak turut menyediakan pelbagai bantuan pendidikan bagi membantu anak-anak negeri ini mencapai kejayaan dan seterusnya memperoleh peluang pekerjaan yang lebih baik pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa Ramadan merupakan bulan penuh keberkatan yang harus dimanfaatkan dengan amalan kebajikan, di samping merebut ganjaran malam Lailatul Qadar.
Di kesempatan tersebut, beliau turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga Batang Lupar serta memohon maaf atas segala kekhilafan. -EDISI UKAS