Kemudahan Asas Diperkasa, Isu Capaian Telekomunikasi Diberi Perhatian di Mujong Baleh
MUJONG BALEH: Kemudahan asas luar bandar terus diperkasa dengan pelaksanaan projek sengkuap di Rumah Mansai, Nanga Sengkabang, Sungai Majau selain keperluan meningkatkan capaian telekomunikasi di kawasan pedalaman.
Timbalan Menteri di Kementerian Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, projek tersebut bertujuan meningkatkan keselesaan, keselamatan serta memudahkan pergerakan penduduk dalam menjalankan aktiviti harian di kawasan rumah panjang.
“Projek ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada penduduk, malah memastikan keselamatan mereka lebih terjamin, terutama ketika menjalankan aktiviti harian di kawasan rumah panjang.
“Dalam masa sama, kita juga mengambil maklum isu capaian telekomunikasi yang masih lemah di kawasan ini dan perkara ini akan disalurkan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Awning Roof di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan beberapa peruntukan bagi menyokong pembangunan komuniti setempat, termasuk RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), RM5,000 kepada Biro Wanita serta Geran MRP sebanyak RM20,000 bagi projek batu kuari.
Selain itu, sumbangan tambahan sebanyak RM5,000 turut disalurkan kepada Biro Wanita yang hadir melibatkan Rumah Ajai dan Rumah Nyandang, Sungai Majau.
Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan secara menyeluruh, merangkumi aspek infrastruktur fizikal serta keperluan digital demi kesejahteraan masyarakat. -EDISI UKAS