Program Berambih Sungkai Eratkan Silaturahim Komuniti Balingian
BALINGIAN: Program Jom Berambih Sungkai @ Waterfront Balingian berjaya mengeratkan silaturahim serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan komuniti setempat, pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, penganjuran program berteraskan kebersamaan seperti itu wajar diteruskan kerana mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Beliau turut menyempurnakan gimik perasmian dengan menaikkan layang-layang bertulis ‘Jom Berambih Sungkai’.
Sementara itu, Penghulu Harbi Bakir memaklumkan program julung kali itu berjaya menarik penyertaan lebih 50 keluarga dengan kehadiran dianggarkan antara 250 hingga 300 orang.
Menurutnya, sambutan menggalakkan tersebut mencerminkan keperluan aktiviti komuniti yang mampu menyatukan penduduk setempat.
Program itu turut mendapat sokongan Pejabat Daerah Kecil Balingian, Pusat Khidmat Balingian, Pusat Khidmat Mukah, Balingian Brotherhood serta Belia Progresif.
Turut hadir, Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, Kaunselor Semaon Yusuf serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) DUN Balingian.-EDISI UKAS