Kerajaan Sarawak Siapkan 924 Unit Rumah Melalui Agenda Perumahan Mampu Milik
KUCHING: Kerajaan Sarawak berjaya menyiapkan sebanyak 924 unit rumah di bawah agenda perumahan mampu milik dari tahun 2021 hingga 2025.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, daripada jumlah tersebut, 770 unit adalah di bawah program Rumah Spektra Permata (RSP) manakala 154 unit di bawah Projek Rakyat (PR).
“Rumah-rumah ini telah berjaya disiapkan di pelbagai bahagian Sarawak termasuk Kuching, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Miri dan Limbang iaitu meliputi kawasan bandar, pinggir bandar serta luar bandar,” katanya dalam Perutusan Khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2026.
Menurut beliau, di Bahagian Kuching, antara projek yang telah siap termasuk RSP Kampung Pasir Panjang, Pasir Pandak/Pasir Salak, Rumah Mampu Milik (RMM) di Darul Hana, serta projek di Lundu, Sematan dan SPK Tebakang Melayu manakala Bahagian Betong menyaksikan pelaksanaan projek di Kampung Spaoh dan SPK Maludam Fasa 1.
Selain itu, projek turut disiapkan di Sarikei (SPK Susur Jambu), Sibu (Kemuyang), Mukah (Hilir Dalat dan Balingian), Miri (Majelin dan Permyjaya III) serta Limbang (RMM Ranggau).
Di bawah Projek Rakyat pula, sebanyak 154 unit rumah telah disiapkan di beberapa lokasi strategik termasuk Santubong di Kuching, Kampung Hulu Kabong di Betong, serta Tian Matu dan Igan di Mukah.
“Projek-projek ini bukan sekadar pembinaan fizikal semata-mata, tetapi merupakan simbol komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman yang selesa, selamat dan mampu milik.
“Kerajaan amat memahami bahawa rumah bukan sekadar tempat berteduh kerana ia adalah asas kepada pembentukan keluarga yang stabil, persekitaran yang harmoni dan masa depan generasi yang lebih terjamin,” jelas beliau lagi.
Dengan ini tegasnya, Kerajaan Sarawak akan terus memastikan agenda perumahan rakyat kekal sebagai keutamaan, selari dengan matlamat kita untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. -EDISI UKAS