RMK-13: RM57.3 Juta Diluluskan, Sarawak Perkukuh Pembangunan Tersusun
KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan siling peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) sebanyak RM57.327 juta demi memastikan pembangunan yang lebih tersusun dan terancang di seluruh negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, antaranya melaksanakan projek Cadangan Pembangunan Kemudahan Awam di Kompleks Pentadbiran Bersepadu Mulu, Daerah Marudi.
Menurut beliau, pembangunan tersebut amat signifikan dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan di kawasan pedalaman, di samping menyokong pertumbuhan ekonomi setempat khususnya di Mulu dan kawasan sekitarnya.
"Seiring dengan itu, kerajaan turut melaksanakan projek pembinaan jalan baharu melibatkan jajaran Miri–Marudi, Marudi–Mulu (Kuala Melinau) serta Long Lama–Long Panai sepanjang kira-kira 142 kilometer bagi menghubungkan ‘missing link’ di kawasan berkenaan," jelasnya dalam Perutusan Khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2026.
Sementara itu tambahnya, projek berkenaan dijangka meningkatkan jaringan perhubungan serta aksesibiliti, sekali gus merancakkan pembangunan sosioekonomi di kawasan pedalaman Baram dan Marudi.
Malah jelasnya, ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 75,000 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi, Telang Usan dan Mulu, khususnya dalam meningkatkan keselamatan perjalanan serta akses yang lebih mudah kepada perkhidmatan penting seperti kesihatan dan Pendidikan.
"Pada masa yang sama, projek ini turut memperbaiki akses ke Taman Negara Gunung Mulu, Tapak Warisan Dunia UNESCO, sekali gus menyokong pertumbuhan sektor pelancongan dan mengukuhkan integrasi wilayah melalui sambungan dengan Sabah–Sarawak Link Road," ujarnya. -EDISI UKAS