Sarawak Terus Cipta Kejayaan, Raih Pengiktirafan Di Bawah Kepimpinan Premier Sarawak
KUCHING: Sarawak terus mencipta kejayaan dan meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, negeri ini saban tahun terus mencatat pencapaian membanggakan termasuk menerusi kerjasama strategik dengan Bank Dunia bagi memperkukuh tadbir urus, perancangan fiskal serta pengurusan Perusahaan Milik Kerajaan (State Owned Enterprise).
Menurut beliau, Sarawak juga memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju inovasi melalui pelancaran projek pembangunan digital dan teknologi tinggi seperti KETEQ.AI di samping menubuhkan sebuah syarikat penerbangan milik negeri iaitu AirBorneo Disember tahun lepas.
"Ini dijangka memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi, meningkatkan aksesibiliti masyarakat luar bandar serta memperkukuh kesalinghubungan udara serantau khususnya di Sarawak.
"Sekaligus ini menjadi simbol kebangkitan ekonomi, pemerkasaan rakyat, dan masa depan yang lebih berdaya saing," katanya dalam Perutusan Khas Hari Raya Aidilfitri 2026.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menambah, industri teknologi dan inovasi juga terus menarik minat pelabur strategik melalui pembangunan ekonomi hidrogen, kerjasama antarabangsa dalam teknologi tenaga hijau, pelaburan pusat data berskala besar serta pengukuhan ekosistem digital menerusi Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC)
"Usaha ini memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab tenaga bersih dan ekonomi digital serantau, sekali gus menyokong transformasi ekonomi masa depan," jelas beliau lagi.-EDISI UKAS