Kekangan Kewangan Bukan Halangan, Sarawak Jamin Akses Pendidikan
KUCHING: Kerajaan Sarawak menegaskan komitmen untuk memastikan tiada anak negeri ini tercicir daripada arus pendidikan hanya kerana kekangan kewangan dengan pendidikan dilihat sebagai kunci utama mobiliti sosial.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, melalui inisiatif Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), kerajaan negeri memberi peluang kepada anak-anak Sarawak daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak tanpa menanggung beban kewangan.
"Kita mahu melahirkan jurutera, saintis, pakar teknologi, doktor, guru dan profesional dalam pelbagai bidang yang akan memacu kemajuan Sarawak pada masa kini dan hadapan," katanya dalam Perutusan Khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2026.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, Kerajaan Sarawak terus memperkukuh sektor tenaga boleh diperbaharui, termasuk pembangunan tenaga hidro, solar dan hidrogen, sebagai asas kepada ekonomi hijau yang mampan.
"Kita mahu Sarawak menjadi hab tenaga bersih serantau, menarik pelaburan berkualiti tinggi serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat," jelasnya lagi. -EDISI UKAS