Peranan & Sumbangan Rakyat Bawa Naratif Unik Kepada Pembangunan Sarawak
KUCHING: Peranan dan sumbangan semua rakyat membentuk satu naratif yang unik dalam pembangunan Sarawak yang terus meraih pengiktirafan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kejayaan pembangunan Sarawak bukan sekadar berkaitan politik atau etnik semata-mata, sebaliknya ia mencerminkan kelestarian budaya, kestabilan sosial dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Menurut beliau, konsep 'Segulai Sejalai' yang bermaksud 'Seiring Sejalan' menjadi asas perpaduan di Sarawak, di mana umat Islam terus mengamalkan prinsip hidup bersama etnik lain seperti Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau, India, Cina, dan lain-lain bangsa.
"Sifat umat Islam Sarawak merupakan satu "jambatan" kerana sifatnya yang terbuka dan toleran.
"Contohnya, badan seperti Harakah Islamiah Islam Sarawak (HIKMAH) memainkan peranan dalam menjaga kebajikan serta pendidikan moral masyarakat berbilang kaum seperti memberi bantuan kepada mangsa banjir dan kebakaran," katanya dalam Perutusan Khas Hari Raya Aidilfitri 2026.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menambah, perpaduan dalam kalangan umat Islam bersama dengan rakyat lain menyumbang kepada kestabilan politik dan keharmonian sosial di Sarawak dan seterusnya menjadi benteng daripada pengaruh polarisasi yang sering berlaku di luar Sarawak.
Jelasnya, ini amat sesuai dengan visi pembangunan negeri kerana Sarawak adalah contoh terbaik sebuah 'Keluarga Besar' yang menjadi keunikan apabila tiba musim perayaan dengan kegembiraan Aidilfitri turut dirasai oleh rakan-rakan daripada pelbagai etnik dan kepercayaan.
"Saya yakin dengan perpaduan yang jitu, Sarawak akan terus memacu ekonomi hijau, tenaga boleh baharu, dan transformasi digital demi kesejahteraan generasi akan datang," jelas beliau. -EDISI UKAS