Inisiatif Kerajaan Tingkat Keselesaan Penduduk Rumah Mansai
KAPIT: Projek pembinaan awning roof di Rumah Mansai, Nanga Sengkabang, Sungai Majau menjadi inisiatif berimpak tinggi dalam meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan penduduk rumah panjang di kawasan tersebut.
Kemudahan yang siap itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh penyediaan kemudahan asas di luar bandar.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Kementerian Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong, pada Rabu.
Dalam ucapannya, beliau berkata projek tersebut bukan sahaja meningkatkan keselesaan, malah memudahkan pergerakan serta pelaksanaan aktiviti harian penduduk.
Pada masa sama, beliau turut mengambil maklum beberapa keperluan lain yang dibangkitkan penduduk, termasuk kerja pendawaian semula, pemasangan menara telekomunikasi bagi menambah baik capaian internet serta cadangan penurapan jalan bagi mengatasi masalah licin ketika musim hujan.
Menurutnya, semua keperluan tersebut akan disalurkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Tuai Rumah Mansai merakamkan penghargaan atas keprihatinan kerajaan serta kesediaan pemimpin turun padang meninjau keperluan komuniti setempat.-EDISI UKAS