Projek Pembetung Tangani Banjir Berlarutan Di Dua Kawasan Sibu
SIBU: Masalah banjir berlarutan di Jalan Hua Lai dan Jalan Hock Ming kini ditangani menerusi projek penambahbaikan sistem saliran yang sedang dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Kaunselor Kevin Lau Kor Jie berkata, projek tersebut melibatkan pemasangan pembetung bagi meningkatkan kecekapan saliran dan mengurangkan kejadian banjir terutama ketika hujan lebat.
Menurutnya, isu saliran yang berlarutan sebelum ini telah menjejaskan trafik serta aktiviti harian penduduk, sebelum diketengahkan melalui maklum balas komuniti dan kepimpinan tempatan.
Katanya, projek berkenaan kini dilaksanakan oleh Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) dan dijangka mampu melancarkan pengaliran air serta mengurangkan risiko banjir apabila siap kelak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MDLBS atas tindakan pantas serta peranan Kapitan Tang Chuo Ging dalam menyelaras isu komuniti.-EDISI UKAS