Pembangunan Infrastruktur Di Batang Maro Terus Diperkasa
BATANG MARO: Pembangunan infrastruktur di kawasan Batang Maro terus diperkasa sebagai usaha meningkatkan kesalinghubungan serta kesejahteraan penduduk luar bandar.
Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, antara projek utama yang diberi tumpuan ialah menaik taraf jalan utama melibatkan Kampung Paloh, Perpat dan Batang Maro yang telah diluluskan dengan peruntukan RM117 juta oleh Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, pelaksanaan projek tersebut kini dalam proses penyelesaian beberapa isu termasuk berkaitan tanah sebelum dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Santunan Ramadan Parlimen Batang Lupar di Kampung Batang Maro, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pembinaan Jambatan Sungai Krian oleh Kerajaan Sarawak merupakan satu lagi projek penting yang bakal memberi impak besar kepada penduduk setempat.
Katanya, projek tersebut akan memendekkan jarak perjalanan antara Pusa dan Kabong melalui jalan pesisir, sekali gus meningkatkan kemudahan perhubungan serta merancakkan aktiviti ekonomi tempatan.
Dalam majlis sama, seramai 30 asnaf turut menerima sumbangan menerusi Program Santunan Ramadan anjuran Pusat Khidmat Batang Lupar.-EDISI UKAS