MERADONG: Pelaksanaan projek di bawah Rancangan Transformasi Luar Bandar (RTP) di Meradong terus dipantau bagi memastikan manfaatnya dinikmati komuniti luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek RTP merupakan usaha berterusan dalam memperkukuh kemudahan asas dan prasarana komuniti.
Jelasnya, projek RTP bukan sahaja meningkatkan kemudahan fizikal, malah memperkukuh kesejahteraan serta perpaduan komuniti setempat.
Beliau berkata demikian ketika lawatan kerja meninjau beberapa projek di bawah seliaan Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), pada Rabu.
Antara projek dilaksanakan ialah naik taraf bangunan serbaguna di St James Church (RM80,000), pembinaan dewan serbaguna di Rumah Peter, Mador Ili (RM50,000) serta kerja meratakan kawasan parkir di Rumah Murieng, Sungai Kotak (RM50,000).
Turut hadir, Jurutera MDMJ Nur Hazirah Sadong, Pemanca Yii Hee Sieng, Tuai Rumah Peter serta Tuai Rumah Murieng.-EDISI UKAS