Projek RTP Tanah Perkuburan Tab Cina Siap, Tingkat Keselesaan Komuniti
MIRI: Projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Tanah Perkuburan Islam Tab Cinaq, Pujut 5D kini siap sepenuhnya, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan kemudahan untuk komuniti setempat.
Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, projek bernilai RM100,000 itu dilaksanakan bermula 15 Disember 2025 dan siap pada 14 Mac 2026 mengikut jadual.
Menurut beliau, skop projek melibatkan pembinaan jalan konkrit sepanjang 32 meter serta pemasangan tujuh unit lampu solar bagi meningkatkan kemudahan dan keselamatan kawasan, khususnya ketika pengebumian pada waktu malam.
“Penyediaan kemudahan ini bukan sahaja memudahkan urusan masyarakat, malah mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan komuniti,” katanya ketika lawatan tapak, pada Rabu.
Beliau turut memaklumkan pemasangan lampu solar menerima maklum balas positif kerana membantu meningkatkan keselamatan serta memudahkan pergerakan pengunjung.
Tambahnya, projek tersebut turut disertakan tempoh jaminan selama satu tahun bagi memastikan kualiti pelaksanaan sentiasa terpelihara.
Dalam perkembangan sama, beberapa cadangan penambahbaikan untuk Surau Tab Cinaq sedang dirancang dan dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.- EDISI UKAS